KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi permintaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh.
Timbalan Menteri Undang-undang, Hubungan Negeri – Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Kerajaan Sarawak telah mengemukakan kertas cadangan kepada Kerajaan Persekutuan yang mencadangkan supaya meningkatkan jumlah perwakilan Sarawak di dalam Dewan Rakyat sehingga 35 peratus.
Beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Perundangan Berkaitan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia telah diadakan pada 10 Ogos 2023 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak dan 30 Oktober 2023 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Sabah, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Hasidah menjawab pertanyaan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) menegaskan, apa-apa keputusan yang dibuat pada peringkat Kumpulan Kerja itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan kemudaian dikemukakan kepada Majlis Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk disahkan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak berharap cadangan untuk meningkatkan jumlah wakil dari Sarawak dan Sabah akan menjadi kenyataan dan disahkan oleh Jawatankuasa berkenaan.
Sejurus selepas itu, katanya, pindaan ke atas Artikel 46 Perlembagaan Persekutuan akan diluluskan bagi menjamin perwakilan seimbang dalam Dewan Rakyat sejajar dengan semangat dan penubuhan Malaysia pada 1963.
Menurut Hasidah, proses rundingan itu berjalan lancar dan tidak ada ketetapan masa ditentukan oleh Kerajaan Sarawak mengenainya.
Sekiranya ada keperluan bagi Kerajaan Sarawak untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan pengambilalihan hak Sarawak, katanya, Sarawak akan terus mempertahan hak-haknya mengikut Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
