Miri simbol kemajuan, keharmonian Sarawak

MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan bandaraya Miri sebagai simbol kemajuan dan keharmonian kaum Sarawak.

“Miri adalah bandar raya yang dibangunkan berasaskan industri minyak dan gas, sekali gus simbol kemajuan dan keharmonian kaum wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan buku atur cara sempena Sambutan Hari Sarawak 2025 Peringkat Negeri di sini.

Abang Johari juga menekankan peranan Miri sebagai bandar raya peranginan yang pesat membangun di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) .

Beliau menggesa rakyat bersatu menyokong usaha ini demi masa depan negeri.

Selain itu, beliau juga menyatakan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkasa ekonomi digital, Kecerdasan Buatan (AI), memacu Kelestarian Alam sekitar dan membangunkan sektor teras berasaskan minyak dan gas, perladangan, pelancongan, dan pertanian moden secara agresif.