MRSM Bintulu ambil langkah proaktif tangani influenza

BINTULU: Penularan gejala influenza di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu kini terkawal dengan hanya sembilan pelajar masih bergejala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata berdasarkan maklumat pihak pengurusan MRSM Bintulu, seramai 51 pelajar sebelum ini dikesan mengalami simptom influenza, namun kebanyakannya telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan saringan suhu harian dan segera merujuk pelajar bergejala kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan pelitup muka di MRSM Bintulu hasil kerjasama Pusat Khidmat N.70 Jepak dengan APRO Farmasi, di sini, hari ini.

Di majlis itu, Iskandar menyampaikan 2,500 pelitup muka kepada pelajar dan tenaga pengajar MRSM Bintulu.

Sementara itu, seramai 350 pelajar turut menghadiri sesi penerangan kesedaran tentang langkah pencegahan influenza.