KUALA LUMPUR: Pelaburan China dalam sektor teknologi Malaysia mempamerkan pertumbuhan yang stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, pelabur China menyumbang RM55.4 bilion dalam sektor teknologi negara ini pada 2022.
Ia sekali gus membentuk 55.6 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dan menjadikan China sebagai sumber FDI terbesar.
“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), tiga sektor teknologi teratas yang menarik pelaburan China pada 2022 ialah maklumat dan komunikasi, elektrik dan elektronik serta jentera dan peralatan.
“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sektor maklumat dan komunikasi mencatat pelaburan sebanyak RM11.2 bilion, elektrik dan elektronik sebanyak RM10.3 bilion manakala jentera dan peralatan menyumbang RM7.4 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Kemuncak Kepimpinan Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) 2023 dan Pelancaran RIDE MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.