Pemandu perlu rancang perjalanan semasa musim perayaan

LAWAS: Pengguna jalan raya diminta merancang perjalanan sekiranya melalui pintu sempadan semasa perayaan Tahun Baharu Cina.

Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, ini kerana pemandu dari negara jiran mahupun tempatan sering berebut mengejar waktu bagi mengelak pintu sempadan ditutup.

“Jadi adalah penting untuk merancang perjalanan demi keselamatan semua,” katanya ketika merasmikan program Ops Selamat 21 bagi daerah Lawas di Station Petronas Lawas di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, pihaknya menjangka jumlah kenderaan yang melalui daerah Lawas untuk ke Sabah dan Brunei akan meningkat semasa musim perayaan ini.

Beliau juga mengesahkan setakat Januari lalu, daerah Lawas merekodkan empat kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.