DARO: Jambatan Muara Lassa memberi impak positif khususnya ekonomi di kawasan ini sejak dibuka 9 Januari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, jumlah pengunjung dan pengguna jalan raya turut meningkat di kawasan itu yang menyumbang kepada peningkatan perniagaan.
“Ada dalam kalangan peniaga makanan memberi pendapatan mereka meningkat berkali ganda selepas jambatan ini dibuka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa, Daro di sini, hari ini.
Perasmian itu dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Safiee menjelaskan, oleh kerana jambatan sudah ada, maka Daro perlu mempunyai banyak hotel untuk menampung pengunjung yang semakin meningkat terutama musim perayaan dan hujung minggu.
“Hotel sedia ada sentiasa penuh malah inap desa juga mendapat permintaan tinggi,” katanya.