DARO: Daerah Daro akan memiliki sebuah Klinik Kesihatan serba lengkap (Jenis Empat) baharu berharga RM46.8 juta dalam masa tiga tahun akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri Daro (ADUN), Dr. Safiee Ahmad yang menyempurnakan Majlis Mula Kerja Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis Empat) Daro (Fasa Kedua) di Kampung Tengah, di sini berkata, Klinik Kesihatan itu akan mengakhiri penantian lebih sedekad penduduk untuk mendapatkan kemudahan kesihatan yang lebih sempurna.
Projek yang bermula pada 4 Februari lalu itu, katanya, dijangka siap sepenuhnya pada 3 Ogos 2028 selepas melalui tempoh kontrak selama 30 bulan.
Menurut beliau, pembinaan klinik baharu itu amat penting bagi menggantikan Klinik Kesihatan Daro lama yang musnah dalam kebakaran 7 Oktober 2015, sekali gus menamatkan penantian panjang penduduk.
“Sejak kejadian tersebut, perkhidmatan kesihatan terpaksa beroperasi di klinik sementara yang ditempatkan di Rumah Rehat Hospital Daro dengan kemudahan yang terhad dan serba kekurangan,” katanya.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Dasanrama Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bahagian Mukah bertindak sebagai agensi pelaksana dan penyelia projek.
