Penganjuran Festival Jabat Sejagat diperluas

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberikan sokongan berterusan kepada penganjuran Festival Jabat Sejagat yang melibatkan seni silat, di sini, pada masa depan.

“Sokongan berterusan akan diberikan kepada penganjuran kejohanan seperti ini, bukan sahaja melibatkan silat, malah seni mempertahankan diri lain,”menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Festival Jabat Sejagat 2025 di Sarawak Sports Village (SSV), di sini, malam tadi.

Di samping itu, Abdul Karim juga memberikan bayangan bahawa festival itu akan diperluaskan pada penganjuran akan datang dengan peruntukan lebih besar serta kemungkinan diadakan di lokasi lebih luas.

“Ini seperti stadium atau Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menyaksikannya,”katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyifatkan penglibatan aktif golongan belia dalam Festival Jabat Sejagat 2025 sebagai petanda positif kejayaan usaha memupuk minat generasi muda terhadap warisan seni mempertahankan diri.