Peruntukan UNIFOR ditambah tahun depan

SPAOH: Kerajaan Sarawak mengumumkan peningkatan peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada RM120 juta bagi tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa keharmonian beragama serta pembangunan rumah ibadat dan sekolah mubaligh.

“Ia merangkumi peruntukan RM30 juta pada tahun ini khusus bagi pembangunan sekolah-sekolah mubaligh, termasuk di Bahagian Betong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Krismas N37 Bukit Saban 2025 di Dewan Masyarakat Spaoh, yang dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung.

Menurut beliau, langkah tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap peranan institusi keagamaan dan pendidikan mubaligh yang turut menyumbang kepada pembangunan modal insan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Kerajaan Sarawak sentiasa menghormati kepelbagaian agama dan kepercayaan. Melalui UNIFOR, kita memastikan setiap komuniti mempunyai akses kepada kemudahan rumah ibadat yang selesa, di samping menyokong sekolah mubaligh yang menjadi sebahagian penting sistem pendidikan negeri,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Datin Amar Dato Doreen Mayang; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh dan Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Guwie.