MUKAH: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memperkemas persiapan jentera pilihan raya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 menerusi taklimat khas di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Lama, di sini.
Taklimat Persediaan Pilihan Raya itu membabitkan jentera Parti PBB Cawangan N.57 Tellian dan N.58 Balingian serta memberi penekanan kepada peranan ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi.
Ia disampaikan Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datu Takun @ Takon Sunggah dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti PBB, Sulhie Salleh.
Program bertujuan memastikan jentera parti memahami tugas serta tanggungjawab masing-masing, selain memperkemas koordinasi sepanjang proses pilihan raya.
Usaha itu turut dilihat penting bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota parti di peringkat akar umbi, khususnya dalam memastikan kelancaran gerak kerja ketika PRN.
Penganjuran program itu merupakan inisiatif penting memperkukuh kerjasama antara kepimpinan dan anggota parti selain memastikan gerak kerja PBB tersusun dalam menghadapi PRN Sarawak.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti merangkap Ketua Cawangan N.58 Balingian, Dr Yakub Arbi.
