KUCHING: Persiapan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 kini berada pada peringkat lanjutan dengan sebahagian besar gerak kerja awal dilaksanakan.
Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, persiapan parti setakat ini berada pada tahap memuaskan meskipun belum mencapai 100 peratus.
Menurutnya, pelbagai langkah awal dilaksanakan bagi memastikan jentera pilihan raya parti dalam keadaan bersiap siaga menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kita tidak boleh mengatakan persiapan sudah mencapai 100 peratus, tetapi kini berada pada peringkat lanjutan.
“Pilihan raya bukan perkara baharu bagi kita kerana sudah mempunyai pengalaman menghadapinya,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di Ibu Pejabat parti di Jalan Bako, di sini, semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Nanta berkata, langkah seterusnya membentuk jawatankuasa berkaitan secara rasmi bagi menyelaras dan memperkemas gerak kerja pilihan raya parti.
