Yayasan Sarawak pemangkin pembangunan tenaga profesional

KUCHING: Yayasan Sarawak memainkan peranan penting dalam melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan ekonomi baharu yang dipacu perkembangan teknologi global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, yayasan berkenaan antara pemangkin pembangunan tenaga profesional negeri sejak penubuhannya 55 tahun lalu.

Menurutnya, Yayasan Sarawak berjaya membuka peluang kepada ramai anak tempatan melanjutkan pengajian tinggi, termasuk dalam bidang profesional, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Sejak penubuhan Yayasan Sarawak, kita berjaya menghantar ramai pelajar ke Semenanjung Malaysia untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat profesional.

“Mereka kemudian kembali ke Sarawak dan memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi serta institusi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Gala sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Yayasan Sarawak di Hotel Pullman,di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, peralihan ekonomi dunia daripada sektor tradisional kepada ekonomi berasaskan teknologi menuntut Sarawak melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Jelasnya, perkembangan kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi kuantum menjadikan pembangunan modal insan semakin penting bagi memastikan Sarawak berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, akses pendidikan berkualiti perlu terus diperluas kepada anak Sarawak daripada pelbagai latar belakang, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Kekuatan Sarawak dari segi sumber tenaga perlu disokong oleh tenaga manusia berkemahiran tinggi.

“Ini bagi membolehkan negeri ini menghasilkan nilai tambah serta membangunkan ekonomi yang lebih maju,” ujarnya.

Beliau turut menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu dan warga Yayasan Sarawak dalam memperkukuh pendidikan negeri sepanjang lebih lima dekad.

Katanya, Yayasan Sarawak diharap terus melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran bagi merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju serta berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin berkata, yayasan berkenaan menyalurkan bantuan pendidikan melebihi RM2.46 bilion kepada lebih 2.74 juta penerima sejak penubuhannya pada 1971.

Menurutnya, pencapaian sepanjang 55 tahun itu membuktikan komitmen berterusan Yayasan Sarawak dalam memperluas akses pendidikan dan membangunkan modal insan negeri.

“Komitmen kami adalah memastikan setiap anak Sarawak yang layak mendapat peluang melanjutkan pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosioekonomi mereka,” katanya.
– NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI