KUCHING: Semua calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN Sarawak) ke-13, mesti bersedia dengan naratif kempen terbaik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ini khususnya dalam menjelaskan pencapaian serta kejayaan pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
“Setiap calon juga perlu membuat persediaan rapi tanpa mengira sama ada mereka berdepan dengan calon lawan yang kuat atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti PBB, di sini.
Beliau menjelaskan, calon-calon tidak boleh hanya mengharapkan kemenangan berdasarkan kekuatan logo parti semata-mata.
Beliau berkata, inilah antara perkara yang dimahukan oleh Yang di-Pertua Parti PBB untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum negeri nanti.
Beliau berkata, selain itu calon juga mesti mempunyai pengetahuan mendalam serta memahami naratif politik dan agenda pembangunan Kerajaan Sarawak.
Calon juga tidak boleh mengambil mudah persaingan politik atau menganggap kemenangan sudah terjamin hanya kerana bertanding atas tiket GPS, tegas beliau yang memetik nasihat Abang Johari kepada calon yang bertanding.
Mengenai kriteria calon yang dipilih untuk bertanding, beliau berkata, Yang di-Pertua Parti tidak menyatakan sebarang ketetapan atau had umur tertentu, sebaliknya beliau lebih menekankan aspek kebijaksanaan, kewarasan serta keupayaan seseorang calon memahami tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Yang di-Pertua parti PBB, tambahnya, juga mahukan calon yang benar-benar, bersungguh-sungguh, mempunyai kebijaksanaan dalam berfikir serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Pada masa sama, katanya, Yang di-Pertua parti turut memberikan penekanan terhadap proses pemilihan calon GPS yang akan dilaksanakan dengan lebih teliti dan ketat.
Setiap calon akan melalui proses penilaian dan saringan yang menyeluruh sebelum dipertimbangkan untuk bertanding, tegas beliau.
