KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyasarkan kemenangan di kesemua 47 kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemenangan itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dilaksanakan.
Justeru untuk merealisasikannya, Awang Tengah berkata Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.
“Persiapan sudah dilakukan dan kini hanya perlu diperhalusi bagi memastikan jentera parti berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB yang dipengerusikan Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Awang Tengah yang juga Timbalan Premier berkata,
GPS juga berhasrat memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memperoleh mandat kukuh demi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Kalau boleh, kita mahu menang semua 82 kerusi. Ini penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.
“Kita mahu Sarawak terus maju, menjadi contoh serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Awang Tengah berkata, kemenangan besar GPS juga penting bagi memberikan kemenangan dan mandat mutlak kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS untuk terus menerajui pentadbiran Sarawak.
Katanya, kesinambungan kepimpinan sedia ada amat penting dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin, selain mempertahankan segala hak serta kepentingan Sarawak.
“Ini penting supaya Premier kita dapat terus memimpin demi kepentingan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
“Pada masa sama, kita mahu terus mempertahankan segala hak dan kepentingan Sarawak,” katanya.
Mengulas mengenai keyakinan Parti PBB untuk mempertahankan kesemua 47 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu, Awang Tengah berkata, kekuatan parti itu terletak pada budaya kerja berterusan serta hubungan rapat dengan rakyat.
Tegasnya, Parti PBB bersama parti komponen GPS tidak hanya turun padang ketika musim pilihan raya, sebaliknya sentiasa mendampingi masyarakat sepanjang masa.
“Kita dalam Parti PBB sentiasa bekerja, begitu juga parti komponen GPS. Kita bukan hanya bekerja ketika pilihan raya.
“Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun, kita terus bergerak serta bersama rakyat. Dalam keadaan susah mahupun senang, kita tetap bersama rakyat. Inilah kekuatan Parti PBB dan GPS,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemilihan calon bagi pilihan raya akan datang, Awang Tengah berkata, keputusan berkenaan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Menurutnya, mandat penuh telah diberikan kepada Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Pengerusi GPS untuk menentukan calon yang akan mewakili parti berkenaan serta gabungan itu pada pilihan raya nanti.
