KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai pusat kecemerlangan sains, penyelidikan dan inovasi selaras.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri membangunkan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan modal insan berkemahiran.
Beliau berkata, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan dan pembangunan bakat penting bagi memastikan Sarawak mampu melahirkan lebih ramai saintis, penyelidik serta inovator berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Katanya, kemajuan sesebuah negeri turut dipacu keupayaan rakyat menguasai ilmu pengetahuan, membangunkan kepakaran serta menghasilkan penemuan dan inovasi teknologi sendiri.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini bersama delegasi Institut Fizik Malaysia (MIP) di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
TYT Sarawak turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti serta institusi penyelidikan antarabangsa.
Profesor Pierre Agostini antara penerima Hadiah Nobel Fizik 2023 atas sumbangan perintis beliau dalam bidang fizik attosaat yang membolehkan saintis mengkaji pergerakan elektron dalam atom dan molekul pada skala masa yang amat singkat. – UKAS
