Pelajar luar bandar tidak dipinggir nikmati akses pendidikan antarabangsa

SIBU: Pelajar luar bandar di Sarawak diberi keutamaan untuk menikmati pendidikan bersilibus antarabangsa menerusi Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, peluang pendidikan berkualiti kini turut dinikmati pelajar luar bandar melalui kemudahan yang disediakan kerajaan negeri.

“Bayangkan, jika tiada kemudahan ini, mungkin sukar bagi pelajar di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Simposium Kepimpinan Digital 2026 di Hotel Kingwood, di sini, semalam.

Mengulas video tular berhubung perbezaan peluang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar, beliau menegaskan bahawa tanggapan sedemikian tidak seharusnya timbul.

“Peluang hari ini tidak membezakan antara bandar dan luar bandar, malah keutamaan yang lebih diberikan kepada pelajar luar bandar kita,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peluang pendidikan yang telah disediakan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak tempatan agar mereka tidak mensia-siakan kemudahan yang tersedia.