Loji Air baharu Julau beroperasi, tingkat bekalan kepada 5 MLD

JULAU: Loji Rawatan Air Baharu Julau bernilai RM25.7 juta yang dibiayai Kerajaan Sarawak kini beroperasi akan mengukuh sistem bekalan air terawat dan bersih di daerah Julau dan kawasan sekitar dalam Bahagian Sarikei.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, loji berkapasiti 3.4 MLD itu mula beroperasi pada 14 Ogos 2026 selepas siap dibina menerusi Pakej 1.

“Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Loji Rawatan Air Baharu Julau di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini daerah Julau bergantung kepada loji rawatan air sedia ada yang mempunyai kapasiti pengeluaran 1.6 MLD.

“Dengan siapnya loji baharu berkapasiti 3.4 MLD ini, jumlah kapasiti bekalan air terawat bagi daerah Julau kini meningkat kepada lima MLD,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh lagi bekalan air di daerah Julau khususnya dan Bahagian Sarikei amnya, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan sebuah lagi loji rawatan air berkapasiti 30 MLD menerusi Pakej 2.

Julaihi berkata, projek Pakej 2 itu kini berada pada peringkat reka bentuk dan akan menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti serta memperluas sistem bekalan air terawat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pada masa ini Loji Rawatan Air Bayong yang mempunyai kapasiti 100 MLD merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada Bahagian Sarikei.

Turut hadir ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan, Dato Roland Duat Jubin, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias, Pemangku Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ts Tamida Daadi, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal.