BIF 2026 angkat keunikan warisan budaya Sarawak

KUCHING: Festival Masyarakat Peribumi Borneo (BIF) 2026 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 15 November ini akan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan masyarakat Borneo.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival anjuran Majlis Seni Sarawak (MSS) itu akan berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) Kuching, dengan pelbagai acara dijadualkan antara jam 9 pagi hingga 10.30 malam.

Menurutnya, penganjuran festival berkenaan merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk memelihara warisan budaya, selain merancakkan industri kreatif dan sektor pelancongan negeri.

“Sarawak mempunyai 34 suku kaum dengan keunikan budaya masing-masing.

“Ia perlu diketengahkan agar terus dikenali dan diwarisi generasi akan datang,” katanya pada sidang media BIF 2026 di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, festival selama empat hari itu menampilkan tujuh pengisian utama termasuk Sidang Keilmuan, persembahan gala budaya Gema Borneo dan Festival Tarian dan Lagu Melayu Asli Kali Ke-36.

Pengisian lain ialah Ngelakar Seni Premium, Ruai Sarawak, pertunjukan mini serta pasar seni yang mengetengahkan keunikan seni dan budaya masyarakat Borneo.

Katanya, pasar seni turut membuka peluang kepada usahawan kraftangan dan penggiat industri kreatif untuk mempromosikan produk masing-masing, sekali gus menjana pendapatan.

Menurutnya, BIF 2026 bukan sekadar acara kebudayaan, malah menjadi platform untuk memperluas jaringan kerjasama antara penggiat seni dan komuniti kreatif di seluruh Borneo.

Beliau berharap festival itu dapat berkembang menjadi acara kebudayaan berprestij di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan warisan budaya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Morshidi Frederik dan Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Dr Suffian Jalet.— NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI