KUCHING: Masyarakat perlu digalakkan untuk tampil menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang kejadian keganasan rumah serta kes berkaitan keganasan terhadap kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perlindungan wanita dan kanak-kanak merupakan antara bidang yang memerlukan perhatian dan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pihak penguat kuasa dan masyarakat.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2025, sebanyak 535 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Sarawak, katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, SAC Jumarasan Muniandy di sini hari ini.
Fatimah berkata, bagi kes penderaan kanak-kanak merekodkan 51 kes, pembuangan bayi (empat), rogol (151), sumbang mahram (31), cabul (29) dan di bawah Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak (100).
Beliau menegaskan, justeru tumpuan tidak hanya perlu diberikan kepada sesuatu jenayah, sebaliknya usaha pencegahan, pendidikan masyarakat, pengesanan awal dan intervensi yang bersesuai perlu diperkukuh.
Pendekatan itu, katanya, akan dapat mengurangkan risiko berlakunya jenayah berkenaan.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Semawi Mohamad.
