KOTA SAMARAHAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan kedudukan beliau pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Sepanjang kira-kira 15 tahun mewakili Saribas, beliau membawa perubahan ketara pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk akses jalan raya dan bekalan air.
“Kalau masih diberi peluang, saya akan terus berkhidmat demi rakyat dan demi Sarawak, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, semalam.
Menurutnya, jika sebelum ini hanya kira-kira 40 peratus kawasan Saribas mempunyai akses jalan raya dan bekalan air, kini kebanyakan kampung serta rumah panjang sudah menikmati kemudahan berkenaan.
“Pembangunan jambatan termasuk Jambatan Batang Lupar serta kemudahan lain di kawasan Betong juga berpotensi menjadi nilai tambah kepada perancangan pembangunan, khususnya sektor pertanian dan ekonomi,” jelasnya.
Selain itu, Saribas menerima kira-kira RM200 juta menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi projek infrastruktur dan sosioekonomi, selain peruntukan alternatif kira-kira RM130 juta untuk pembangunan taman agro.
