Sarawak lahirkan 200 anak tempatan bergelar doktor

KOTA SAMARAHAN: Seramai 200 anak Sarawak berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan menerusi Biasiswa Khas Program Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sejak 2017.

Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program melalui Yayasan Sarawak itu menyediakan tajaan penuh kepada pelajar terpilih bagi melahirkan lebih ramai doktor tempatan.

“Inisiatif ini mempunyai matlamat melahirkan lebih ramai doktor tempatan untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan Sarawak,” katanya pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali ke-30 pada Sidang Tiga, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelaburan dalam pendidikan perubatan penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Program penajaan itu turut menetapkan ikatan perkhidmatan selama 10 tahun di Sarawak kepada penerima biasiswa yang berjaya menamatkan pengajian, tertakluk kepada syarat perjanjian.

Menurut beliau, Sarawak masih berhadapan cabaran kekurangan tenaga perubatan, khususnya bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pelaburan Kerajaan Sarawak dalam pendidikan perubatan dapat memberikan manfaat jangka panjang, khususnya kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman,” tambahnya.

Abang Johari berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan Sarawak mempunyai lebih ramai doktor, pakar perubatan serta profesional kesihatan yang memahami keperluan masyarakat tempatan.

Pada majlis sama, seramai 41 graduan perubatan tajaan Yayasan Sarawak turut menerima ijazah sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan tenaga profesional kesihatan tempatan.