UNIMAS tawar pengajian percuma kepada penerima anugerah utama

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menawarkan peluang melanjutkan pengajian dengan pembiayaan penuh yuran pengajian kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Naib Cancelor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit berkata, inisiatif ini turut akan diberi kepada Anugerah Canselor dan Anugerah Pro-Canselor.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan penghargaan universiti terhadap kecemerlangan pelajar, selain pelaburan dalam melahirkan ilmuwan dan pemimpin masa hadapan.

“UNIMAS turut berharap kejayaan graduan bukan sekadar memperoleh segulung ijazah.

“Sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pencapaian lebih cemerlang dalam bidang penyelidikan, inovasi dan kepimpinan demi manfaat masyarakat serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-30 sidang ketiga di Dewan Tunku Abdul Rahman PUTRA (DeTAR PUTRA), di Samarahan, di sini, pagi ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penyampaian skrol kepada graduan- graduan untuk sidang pagi ini.

Seramai 567 graduan menerima ijazah
masing-masing pada sidang ketiga hari ini yang menghimpunkan graduan daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.

Daripada jumlah tersebut, seramai 215 graduan merupakan graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, manakala 352 graduan daripada Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.-NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI