KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkemas gerak kerja dan penyelarasan jentera pilihan rayanya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 bagi memastikan kelancaran operasi.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persediaan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar setakat ini, berikutan pengalaman luas kepimpinan gabungan berkenaan dalam mengendalikan pilihan raya.
Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada penyelarasan pelbagai aspek operasi, termasuk urusan sekretariat, publisiti, komunikasi dan pengurusan bagi memastikan setiap keperluan pilihan raya dapat dilaksanakan secara teratur.
“Kami telah selesai mengadakan mesyuarat jawatankuasa operasi bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. Ini merupakan proses biasa yang dilaksanakan setiap kali menjelang pilihan raya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, hari ini.
Douglas Uggah menjelaskan, jawatankuasa operasi yang dilantik sebelum ini bertanggungjawab mengendalikan persediaan berkenaan dengan memanfaatkan pengalaman serta kaedah pengurusan sedia ada bagi memastikan jentera GPS sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang diperlukan.
“Setakat ini, tidak ada sebarang masalah besar yang dihadapi. Kami semua mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan pilihan raya. Mesyuarat hari ini juga berlangsung dalam tempoh singkat kerana kami sudah mempunyai pengalaman serta persediaan yang diperlukan,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah; Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Ibrahim Baki; Timbalan Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta wakil-wakil parti komponen GPS.
