SIBU: Loji rawatan air baharu berkapasiti lima juta liter sehari (JLH) di Rantau Panjang yang siap dibina pada 5 Oktober lalu dijangka membantu mengatasi masalah bekalan air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia memenuhi peningkatan permintaan penduduk di kawasan itu dan sekitarnya.
Katanya, projek bernilai kira-kira RM5 juta itu dilaksanakan bermula Mac lalu, sebagai usaha menambah baik sistem bekalan air sedia ada.
“Skop projek ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti lima juta liter sehari , pembinaan muka sauk air mentah, serta pemasangan saluran paip baharu yang disambungkan kepada sistem agihan sedia ada,” katanya pada Majlis Perasmian Acute System Rantau Panjang, Sibu, hari ini.
Julaihi berkata, pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak memastikan rakyat, termasuk mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman, turut menikmati kemudahan bekalan air sempurna dan mampan.
“Bekalan air bukan sahaja merupakan keperluan asas harian, malah menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi, kesihatan awam serta kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Dengan siapnya projek ini, katanya memberi manfaat kepada penduduk di Rantau Panjang dan kawasan sekitar, sekali gus membantu menyelesaikan isu bekalan air di kawasan itu.
Julaihi menegaskan bahawa JBALB Sarawak akan terus berusaha memastikan projek-projek bekalan air yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Pemantauan rapi terhadap kemajuan projek akan terus dilaksanakan agar setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.
