KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal melancarkan Dasar Alam Sekitar Sarawak bagi memperkukuh tadbir urus alam sekitar negeri secara lebih menyeluruh dan mampan.
Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata, dasar baharu itu menjadi kerangka strategik bagi memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan perlindungan alam sekitar dan keterangkuman sosial.
Menurutnya, dasar berkenaan merangkumi empat bidang strategik.
“Bidang tersebut adalah Pengurusan Alam Sekitar, Perubahan Iklim, Keterangkuman Sosial dan Tanggungjawab Awam serta Penyelidikan, Pendidikan dan Kesedaran Awam.
“Pelaksanaan dasar ini disokong oleh 11 teras, 41 sasaran utama dan 111 pelan tindakan, selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) turut membangunkan Sistem Pengurusan Gas Rumah Hijau (GHG-MS) fasa satu tahun ini.
“Langkah ini bagi memudahkan pelaporan pelepasan gas rumah hijau serta permohonan kebenaran pembakaran dan pelepasan gas,” katanya.
