KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk melahirkan seramai 400 graduan perubatan menjelang 2032, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah.
Katanya, sasaran itu sebagai langkah strategik memperkukuh tenaga profesional kesihatan dan menangani kekurangan doktor, terutama di luar bandar serta pedalaman.
“Sasaran itu akan dicapai menerusi pelbagai inisiatif pembangunan modal insan termasuk program Biasiswa Program Perubatan Khas Yayasan Sarawak yang diperkenal sejak 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kali Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, hari ini.
Menurut beliau, menerusi fasa kedua program biasiswa khas itu yang dijadual bermula pada 2027, seramai 80 pelajar dijangka menerima penajaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.
“Usaha ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mencukupi, tanpa mengira lokasi mereka,” katanya.
Uggah yang juga Pro-Canselor UNIMAS menegaskan pembangunan Sarawak tidak boleh diukur hanya melalui projek fizikal seperti jalan raya dan jambatan.
Sebaliknya, ia melalui impak positif yang dirasai rakyat dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menyifatkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin utama kemajuan negeri, dengan graduan UNIMAS memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).
