Pengendali Bazar Ramadan wajib ambil vaksin tifoid

MUKAH: Aspek keselamatan makanan menjadi keutamaan menjelang Ramadan apabila semua pengendali makanan di bazar Ramadan diwajib mendapatkan suntikan vaksin tifoid yang sah dan masih berkuat kuasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Hanifah Hajar Taib berkata, vaksin berkenaan perlu diperbaharui setiap tiga tahun sebagai langkah pencegahan penyakit bawaan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Menurut beliau, syarat itu bukan sekadar formaliti, sebaliknya merupakan benteng awal bagi memastikan juadah yang dijual sepanjang Ramadan selamat dimakan.

“Selain vaksinasi, pengendali makanan juga diwajibkan mengikuti kursus pengendalian makanan bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Negeri Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Dalam memastikan pematuhan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah memulakan Operasi Pemantauan Bazar Ramadan sejak Februari lagi.

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kesihatan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Setakat ini, sebanyak 28 sesi taklimat kebersihan telah diadakan melibatkan 3,375 gerai di 60 tapak bazar Ramadan.