Penyerahan bendera kontinjen Para SUKMA Sarawak

KUCHING: Kontinjen Sarawak akan diketuai Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam sebagai Chef de Mission (CDM) Para SUKMA XXI Sarawak 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, timbalan CDM pula adalah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Lamat Nyalau.

Beliau juga mengumumkan seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dilantik sebagai pembantu CDM bagi kontinjen Sarawak.

“Mereka dilantik bagi memastikan atlet-atlet para Sarawak mendapat sokongan dan dorongan yang konsisten sebelum dan semasa temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Sarawak sempena Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Hikmah Exchange Event Centre di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pembantu CDM ialah ADUN Tanjung Batu, Johnny Phang Leong Ming (Boccia), ADUN Serembu, Miro Simuh (Para Lawn Bowls), ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor ( Para Renang), ADUN Opar, Billy Sujang (Para Olahraga), ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman (Para Powerlifting).

Seterusnya, ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin (Para Ping Pong), ADUN Kalaka, Mohamad Duri (Para Tenpin Boling), ADUN Beting Maro, Razaili Gapor (Para Catur), ADUN Daro, Safiee Ahmad (Para Badminton) dan ADUN Tellian, Royston Valentine (Para Memanah).

Beliau berkata, kontinjen Sarawak mempunyai 213 orang iaitu 143 lelaki dan 70 perempuan membabitkan penyertaan sebanyak 328 acara.

“Atlet para Sarawak akan menyertai kesemua 10 sukan yang dipertandingkan, dengan sasaran 83 pingat emas,” tambahnya.