MIRI: Penganjuran program ‘Unity Walk’ atau Perarakan Perpaduan yang diadakan sempena sambutan Hari Sarawak di sekitar bandar raya ini, pada pagi ini mendapat sambutan luar biasa daripada warga Miri.
Kira-kira 8,000 peserta mencakupi pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajan (NGO) dan orang ramai mula membanjiri Stadium Miri sejak jam 6 pagi lagi untuk menyertai perarakan mengelilingi pusat bandar raya sejauh 2.7 kilometer (km).
Program disemarakkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Mereka tiba di Stadium Miri kira-kira jam 7.15 pagi, seterusnya diberi menyempurnakan pelepasan peserta perarakan.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2025 Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, barisan timbalan-timbalan menteri, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, ketua-ketua jabatan dan dif-dif kenaman yang lain.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan kemudian melawat tapak Karnival Usahawan dan pameran agensi-agensi di perkarangan Stadium Bandaraya Miri.
Sebagai tanda kenangan, seramai lima Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Miri menyampaikan cenderahati kepada Tun Pehin Sri di tapak karnival.
Perarakan perpaduan adalah salah satu daripada tujuh acara utama yang dianjurkan sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Acara kemuncak sambutan, Perhimpunan Hari Sarawak akan berlangsung malam ini dan turut disertai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan pemimpin negeri yang lain. – UKAS