KUCHING: Perancangan penganjuran temasya Sukan SEA 2027 akan dibincang pada pertemuan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh pada 26 Februari ini.
Menurut Abdul Karim, pertemuan itu juga membincangkan perancangan penganjuran temasya sukan lain yang lebih besar pada masa hadapan.
Katanya, mesyuarat itu turut menekankan kepentingan pembangunan atlet, fasiliti bertaraf dunia, serta pelaburan strategik dalam sektor sukan.
“Kita perlu mempersiapkan diri bukan hanya untuk kejayaan di peringkat negeri, tetapi bagi memastikan Malaysia muncul sebagai kuasa besar dalam sukan serantau dan antarabangsa.
“Ini hanya boleh dicapai dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan serta agensi berkaitan,” katanya l pada Majlis Makan Malam Menggamit Kenangan Jiwa MYSED di sini malam ini.
Jelas Karim, Sarawak juga akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan sukan negara dengan penganjuran Sukan Borneo tahun ini.
Selain itu, persiapan untuk mempertahankan kejuaraan dalam SUKMA 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada tahun hadapan.
Pada majlis tersebut, Abdul Karim turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 25 Pegawai MYSED, 12 Pegawai yang bersara dan empat pegawai yang berpindah.