KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengamal politik pecah dan perintah sebaliknya menyatukan rakyat untuk bersama-sama mengecapi kemajuan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, rakyat Sarawak harus berdiri teguh dan bersatu bersama pemimpin GPS dalam membangunkan negeri ini menggunakan pendekatan Sarawak sendiri.
“Pendekatan sendiri itu merangkumi usaha memperoleh pendapatan cara baharu dan melaksana dasar ekonomi baharu,” katanya merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Keenam Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.
Premier Sarawak menegaskan, perkhidmatan awam, perjalanan poliik dan rakyat hendaklah juga berubah sesuai dengan pendekatan yang Kerajaan GPS laksanakan untuk memacu pembangunan negeri ini.
Sambil menghargai usaha Presiden PRS, Dato Sri Joseph Salang Gandum yang mengundur diri untuk memberi laluan kepada pemimpin lebih muda, beliau berkata, GPS mesti ada strategi membangunkan negeri ini.
Dengan strategi yang betul dan mendapat sokongan rakyat, beliau yakin pembangunan yang dilaksanakan itu akan secara menyluruh di Sarawak.
Beliau turut memberitahu, Kerajaan GPS bersetuju untuk menaik taraf Mahkamah Bumiputera supaya Sarawak memiliki lunas undang-undang yang boleh menyelaraskan perkara berkaitan dengan hak adat Bumiputera.
“Satu daripadanya ialah berkaitan pemilikan tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang harus diurus dan diselaraskan dengan baik mengikut undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Joseph Salang dalam ucapan aluannya terdahulu mengucap terima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh ahli-ahli PRS dan GPS semasa memimpin PRS.
Beliau berharap pucuk kepimpinan baharu PRS dapat mengambil ahli-ahli baharu terdiri daripada golongan profesional dan cendekiawan untuk meneruskan perjuangan parti.
Hadir sama Pengerusi SUPP, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Harry Jinep dan Setiausaha Agungt Parti PBB dan GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.