Persidangan Pemandu Pelancong ASEAN di Sibu Oktober depan

KUCHING: Kira-kira 1,000 delegasi dari seluruh Asia Tenggara akan menyertai Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara Ke-3 2026 di Kingwood Hotel, Sibu mulai 13 hingga 15 Oktober depan.

Program ini dianjurkan oleh Sarawak Tourist Guides Association dengan kerjasama Malaysian Tourist Guides Council serta disokong Business Events Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata persidangan itu akan memperkasa standard profesional pemandu pelancong serta memacu pembangunan industri pelancongan berkualiti tinggi di rantau ASEAN.

“Sebagai sebahagian daripada pengisian, para delegasi akan menyertai program pembelajaran luar termasuk pertukaran budaya yang memberi pendedahan langsung kepada pelancongan berasaskan komuniti,” katanya sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, Snowdan Lawan berkata Sarawak menyasarkan kemasukan lima juta pelawat menjelang 2026 dengan aspek kualiti pengalaman mereka kekal menjadi keutamaan.

Menurutnya di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan pertumbuhan ketibaan pelawat sebanyak 7.5 peratus setahun menjelang 2030.