BINTULU: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) hari ini mencapai kejayaan membanggakan dalam pembangunan industri gas dengan melancarkan paip bekalan gas asli kepada isi rumah di Sungai Plan di sini.
Projek paip gas ke Sungai Plan itu merupakan inisiatif paip bekalan gas asli pertama PETROS ke kawasan perumahan di sini.
Ia menandakan langkah penting untuk membekalkan sumber gas Sarawak terus kepada rakyat, kata PETROS dalam satu kenyataan di sini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan projek berkenaan sambil disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.
Projek itu adalah yang pertama untuk membekalkan tenaga terus kepada isi rumah sejak operasi memproses gas asli bermula di Bintulu pada 1982.
PETROS berhasrat memperluaskan bekalan gas itu kepada lebih 3,500 isu rumah di kawasan Sungai Plan menjelang tahun 2027.
Bekalan gas asli terus ke rumah itu membolehkan penggunannya untuk memasak dan kegunaan domestik lain dengan menawarkan tenaga bersih, lebih selesa dan kos yang lebih menjimatkan daripada mengguna gas petroleum cecair (LPG).
Pelancaran paip gas asli itu serentak dengan sambutan Hari Sarawak dan ulang tahun kelapan PETROS.
