Premier Sarawak terima anugerah darjah kebesaran tertinggi Sabah

KOTA KINABALU: Premier Sarawak menerima anugerah darjah kebesaran tertinggi negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima anugerah darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.

Beliau juga mendahului senarai 55 penerima anugerah tersebut sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Juhar Datuk Mahiruddin.

Seramai 1,373 penerima disenaraikan untuk menerima pelbagai kategori anugerah dan darjah kebesaran negeri Sabah sempena sambutan perayaan tersebut.

Hadir sama isteri Premier, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Turut hadir mengiringi Premier Sarawak selaku menteri pengiring adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.