DARO: Sweet Az Zahra memang tidak asing lagi terutama pencinta kek lapis di Kampung Badong dan kawasan sekitarnya.
Ini kerana, Sweet Az Zahra antara pengeluar kek lapis hasil air tangan pemiliknya, Faruzzilla Mokhtar, 36. Setelah merasai sendiri kek lapisnya, ternyata kek lapis keluaran Sweet Az Zahra memang sedap, lembut dan cantik tersusun.
Menurut Faruzzila, kek lapisnya itu dihasilkan dengan pelbagai corak, rasa berbeza mengikut permintaan masing-masing.
Dalam menghasilkan kek lapis itu, ibu kepada tiga anak itu, amat mementingkan hasil kerja yang halus dan kualiti supaya kek itu kelihatan lebih menawan dan menakjubkan.
Antara kek lapis buatannya ialah Kek Lumut, Batu Marmar, Idola, Lumut Cheese, Rainbow Cheese dihasilkan dalam kategori premium dan biasa. Harga bergantung kepada jenis kek.
Selain itu, beliau turut menghasilkan Coklat Kunafa Pistachio yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya sering berpesan kepada dua pekerja yang terlibat dalam pembuatan kek lapis agar menjaga kualiti kek supaya nampak kemas, bersih dan menyelerakan,” katanya ketika ditemui di gerainya nombor satu, Medan Selera Daro di sini, baru-baru ini.
Mula membabitkan diri dalam bidang ini pada 2010, Faruzzilla berkata, pada awalnya ia sekadar minat bagi menghilangkan rasa bosan selepas melahirkan anak pertama.
Berniaga secara kecil-kecilan bagi mempromosikan biskut, kek brownies di kiosk, majlis keramaian serta media sosial, Faruzzila berkata, kaedah itu dapat membantu mempromosikan jualannya itu.
Apabila sudah ada pelanggan tetap, ia memberi semangat kepadanya untuk meluaskan ilmu dan kemahiran dengan mempelajari selok-belok pembuatan kek lapis melalui pendidikan jarak jauh (PJJ), katanya.
“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada suami, Mohd Faizal Jamiludin yang mahir dalam masakan. Beliau (suami) juga pernah berjual kambing perap dan sebagainya,” katanya.
Selain kek lapis, Faruzzilla turut menghasilkan pelbagai gubahan sebagai cenderahati untuk majlis konvonkesyen, hari jadi dan sebagainya.
Bercerita lanjut Sweet Az Zahra, beliau bersyukur kerana semua pekerjanya berdedikasi serta bertanggungjawab.
Katanya, seorang pekerja ditempatkan di Sweet Az Zahra untuk menjaga secara keseluruhan.
Selain kek lapis, pelbagai produk tempatan dihantar vendor di kawasan Daro dan sekitanya. Antaranya biskut, makanan ringan seperti kerepek, pakaian, perhiasan diri dan macam-macam lagi. Dan setiap vendor perlu meletakkan tarikh luput produk masing-masing.
Katanya, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada tiga pekerja Sweet Az Zahra yang turut sama membantu menjayakan perniagaan tersebut.
“Terima kasih juga kepada pelanggan Sweet Az Zahra yang sentiasa menyokong perniagaan ini,” katanya mengakhiri temubual ini.