Program ‘Back To School’ EKUINAS ringankan beban murid

MUKAH: Seramai 200 murid menerima pakaian seragam dan kasut sekolah melalui Program ‘Back To School’ anjuran Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).

Program tersebut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat P213 Mukah, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bukit Engkerbai hari ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, yang menzahirkan penghargaan kepada EKUINAS atas penganjuran program tersebut bagi tahun ketiga.

Beliau sehubungan itu menasihati penerima agar memanfaatkan sumbangan dengan sebaik mungkin.

Selain itu, Hanifah menekankan kepentingan kesiapsiagaan masyarakat terhadap cuaca semasa, khususnya pada musim tengkujuh, bagi menghadapi kemungkinan banjir.

“Langkah persediaan awal perlu diberi keutamaan kerana kejadian banjir kali ini adalah di luar jangkaan,” katanya.

Selepas majlis, beliau mengadakan lawatan mesra ke Sekolah Kebangsaan Lubok Bemban, menyerahkan peruntukan RM30,000 bagi menaik taraf gelanggang sekolah di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) 2024, serta RM35,000 untuk pembelian peralatan dan kemudahan sekolah melalui PMR 2025.

Program ini bukan sahaja menyokong pendidikan anak-anak, tetapi turut menekankan tanggungjawab sosial EKUINAS dalam memperkasa komuniti.