KUCHING: Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga (RT) menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh dalam memperkukuh perpaduan komuniti, sekali gus meninggalkan pendekatan lama yang berasingan atau ‘silo’.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kejayaan gerak kerja Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bergantung kepada kolaborasi erat antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan, dengan memanfaatkan sumber serta kepakaran secara optimum.
“KRT perlu terus relevan dengan perkembangan semasa melalui penggunaan teknologi, peningkatan kapasiti masyarakat dan pendekatan strategik yang inovatif, selain menggalakkan penglibatan aktif belia dan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, dalam Program Semarak Perpaduan sempena Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga 2025 Peringkat Bahagian Kuching di Penview Convention Centre (PCC), Demak, malam tadi.
Sejak penubuhannya pada 1975, Rukun Tetangga berkembang menjadi rangkaian komuniti terbesar negara dengan 8,529 KRT di seluruh Malaysia termasuk 1,095 di Sarawak.
Pada majlis itu, logo dan slogan baharu KRT, Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan, turut dilancarkan bagi mencerminkan identiti yang lebih segar dan progresif. Turut disampaikan beberapa anugerah termasuk KRT Paling Lama, KRT Paling Cemerlang, Jiran Wanita dan Jiran Muda Paling Cemerlang serta SRS Paling Aktif.
