KUCHING: Program Ramadan Prihatin yang berlangsung hari ini memberi manfaat kepada 127 penerima termasuk anggota Pasukan Polis Marin dan golongan asnaf di Masjid Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia dilaksanakan menerusi kerjasama PETRONAS Sarawak bersama beberapa agensi.
“Sebanyak 150 bakul makanan diagihkan bagi membantu meringankan beban isi rumah menjelang perayaan,” katanya selepas program berkenaan di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Nancy berkata, inisiatif tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dalam membantu masyarakat, selain mengumumkan kelulusan dana RM3,000 bagi menyokong aktiviti masjid berkenaan.
Turut disumbangkan 100 topi keledar motosikal sebagai sokongan kepada Kempen Keselamatan Jalan Raya demi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan penunggang.
Selain itu, lebih 1,000 bekas bubur disediakan secara gotong-royong dan diedarkan kepada orang awam sebagai juadah berbuka puasa.
