KUCHING: Sarawak telah melancarkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 melalui Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak bagi meregularisasikan Pendatang Asing Tanpa lzin (PATI) yang berada di Sarawak sebagai pekerja asing berdaftar.
Dalam hal ini, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala mengingatkan majikan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap PATI melalui operasi penguatkuasaan secara besar-besaran selepas tempoh pelaksanaan Program RTK 2.0 pada 31 Disember ini.
Tegasnya, jika disabitkan kesalahan, majikan yang didapati mengaji PATI akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap seorang PATI yang diambil bekerja.
PATI yang dibenarkan untuk didaftarkan di bawah Program RTK 2.0 adalah warganegara asing yang telah melakukan kesalahan pada atau sebelum 31 Disember 2022 di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, katanya.
Bercakap dalam kenyataan media baru-baru ini, Gerawat menambah majikan yang beroperasi dalam sektor 3D iaitu ‘Dangerous, Difficult and Dirty’ adalah dibenarkan untuk mengambil PATI dengan mendaftarkan mereka sebagai pekerja dalam tempoh pelaksanaan Program RTK 2.0.
Sektor-sektor yang terlibat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 temasuklah Sektor Perkilangan, Pembinaan, Perladangan, Pertanian, Perkhidmatan, Perlombongan & Kuari dan Pembantu Rumah Asing.
Hanya PATI dari 16 negara sumber sahaja yang dibenarkan iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, India, Filipina, Kemboja, Laos, Nepal, Myanmar, Sri Lanka, Vietnam, Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhstan dan China.
Majikan boleh terus mendaftar dengan percuma secara atas talian (online) melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my klik ke pautan: PORTAL REKALIBRASI.
