Sarawak perlukan modal insan mahir pacu pertumbuhan negeri

KUCHING: Sarawak memerlukan modal insan berkemahiran tinggi untuk memacu pertumbuhan negeri ini seiring dengan peralihan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang akan merancakkan ekonomi negeri ini dalam pelbagai sektor.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai usaha mengindustrikan ekonomi negeri ini, Sarawak meletakkan strategi untuk menambah nilai kepada aktiviti ekonominya dalam semua sektor.

Namun rancangan perindustrian akan menjadi sia-sia jika Sarawak tidak mempunyai tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang betul, tegasnya.

“Rakyat kita mesti bersedia untuk merebut segala peluang yang timbul daripada kedua-dua agenda pembangunan oleh kerajaan dan lebih banyak pelaburan masuk ke Sarawak.

“Industri ini menuntut pekerja yang berkemahiran tinggi dan teknikal kompeten.

“Kita tidak mahu peluang ini diisi oleh pekerja asing. Sebaliknya, peluang ini harus diambil oleh tenaga kerja tempatan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dalam Majlis Penutupan Wordlskills Malaysia Sarawak 2023 di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di Santubong hari ini.

Katanya, Sarawak komited dalam membantu Kerajaan Persekutuan memperkasakan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menugaskan MEITD untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam menerajui latihan teknikal di negeri ini.

Katanya, kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 2014 menjangkakan lebih daripada satu juta pekerjaan baharu akan diwujudkan, lebih 50 peratus atau lebih 600,000 pekerjaan akan menjadi pekerjaan mahir dan separuh mahir menjelang 2030.

“Sekarang, anda boleh lihat mengapa kita sangat bersemangat tentang TVET. Kini kita mempunyai 104 institusi TVET awam dan swasta di negeri ini dengan jumlah kapasiti kira-kira 30,000 pelatih.

“Institusi ini bersama-sama menghasilkan keluaran tahunan kira-kira 11,000 pemegang sijil dalam perdagangan yang berbeza,” katanya.

Jelasnya, ketika ini Sarawak hanya akan dapat melahirkan 500,000 pekerja mahir menjelang 2030, justeru perlu agresif meningkatkan kapasiti latihan dengan ketara.

Mengenai pertandingan Worldskills Malaysia Sarawak (WMS) 2023 Edisi Ketiga, beliau yakin ia akan menjadi platform TVET dalam meningkatkan pekerja berkemahiran tinggi di negeri ini.