KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberikan diskaun khas elektrik sebanyak 25 peratus untuk pengguna domestik di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata diskaun ini akan bermula April sehingga Disember 2026.
“Pengurangan itu bakal memberi manfaat kepada seramai 714,557 pengguna domestik membabitkan pembayaran sebanyak RM188.1 juta yang sepenuhnya akan ditanggung Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pemberian bantuan khas bagi membantu rakyat menangani kesan konflik di Timur Tengah, di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Abang Johari berkata kadar diskaun itu adalah setara dengan kadar yang pernah diberikan melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang lalu.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
