Sarawak peruntuk RM876.2 juta laksana bantuan khas, demi kesejahteraan rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan kenaikan kadar pemberian Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 sebanyak RM150 bagi isi rumah, RM100 warga emas dan RM75 individu bujang yang layak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan kadar kenaikan SKAS itu, isi rumah akan menerima RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang layak RM375.

“Dijangka hampir 900,000 penerima yang layak akan menerima bantuan itu berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Ramah (STR) tahun 2026,” katanya pada majlis pengumuman pemberian bantuan khas bagi membantu rakyat menangani kesan konflik di Timur Tengah di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa sepanjang tahun 2026 dengan fasa pertama telah mula disalurkan Mac lalu.

Fasa kedua dijadual pada Mei ini manakala fasa ketiga pada November depan dan kadar kenaikan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM136.2 juta, katanya.

Keseluruhan peruntukan kewangan 2026 bagi melaksanakan SKAS pada tahun ini, katanya, Kerajaan Sarawak membelanjakan RM680 juta daripada jumlah asal RM543.9 juta.

Abang Johari menegaskan, kenaikan kadar SKAS itu memperkukuhkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan yang berlaku di Asia Barat.

Kenaikan kadar SKAS itu juga, katanya, seiring dengan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap peningkatan kos sara hidup dan membantu meringankan bebanan kewangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan bekalan keperluan asas harian.

Sebagai kerajaan yang sentiasa peka dan peduli terhadap nasib rakyat, beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak akan memberikan diskaun khas elektrik untuk pengguna domestik sebanyak 25% bermula April sehingga Disember 2026.

Kadar diskaun ini adalah setara dengan kadar yang pernah diberikan melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang lalu, tegas beliau dan menambah, dijangka seramai 714,557 pengguna domestik akan menikmati manfaat ini, dengan pembayaran sebanyak RM188.1 juta yang sepenuhnya akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

Selain itu, Premier Sarawak berkata, bagi mengurangkan kos perniagaan peniaga dan penjaja di negeri ini, Kerajaan Sarawak akan memberikan diskaun 50% ke atas sewaan pasar dan gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan.

Manakala bagi peniaga mikro, kecil dan sederhana yang menyewa di premis perniagaan milik Badan-badan Berkanun Negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), katanya, diskaun sewaan sebanyak 50% akan turut diberikan dan diskaun ini akan ditanggung oleh badan-badan berkanun berkenaan.

Inisiatif diskaun sewaan ini melibatkan anggaran implikasi kewangan kerajaan berjumlah RM8.1 juta, katanya.

Beliau menambah, secara keseluruhannya, jumlah bantuan kewangan Kerajaan Sarawak bagi tahun 2026 adalah RM876.2 juta

Langkah-langkah proaktif ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk bersama rakyat dalam menghadapi cabaran geopolitik yang tidak menentu serta memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat terus terpelihara, tegas beliau.