BETONG: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Betong dicadang agar menyediakan kursus latihan penerbangan melibatkan kapal terbang dan dron.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mencadangkan perkara tersebut kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, di sini, hari ini.
Beliau memohon pertimbangan Premier Sarawak susulan keperluan tenaga mahir dalam bidang penerbangan dan teknologi dron yang semakin meningkat.
“Saya berbincang dengan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu tadi.
“Kita nak mohon Yang Amat Berhormat Premier Sarawak untuk menimbang agar CENTEXS Betong untuk mengajar dalam kelas orang belajar menerbangkan kapal terbang dan menerbangkan dron,” katanya.
Uggah menambah, inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kemahiran baharu kepada rakyat, malah berpotensi mewujudkan industri baharu di Betong yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi.
Tambahnya, STOLport Bebuling dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk pelaksanaan latihan tersebut kerana kawasan itu bebas daripada gangguan serta mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat latihan.
