Premier Sarawak setuju perluas pelaksanaan SPK Debak

BETONG: Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan Debak akan diperluaskan ke kawasan yang belum mendapat skim tersebut.

Ia selepas kelulusan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas permintaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam.

“Jadi kita akan perluaskan di Saribas, di kawasan yang dipohon Datuk Razi,” jelasnya mengumumkan berita gembira itu ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, Debak hari ini.

Terdahulu, Mohammad Razi memohon pertimbangan Premier bagi melanjutkan lagi permohonan SPK yang diluluskan sebanyak 245 lot kepada kampung-kampung lain termasuk mempercepatkan permohonan SPK Debak Fasa Dua melibatkan 193 lot dengan fasa satu kini dibina sebanyak 52 lot.

Menurutnya, ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung di kawasan tersebut yang kini kian padat.

“Jadi saya memohon kepada Kerajaan Sarawak akan kelulusan SPK kepada kampung-kampung yang belum memohon mahupun kampung-kampung yang sudah membuat permohonan kepada Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Betong untuk dipertimbangkan di samping permohonan SPK Debak fasa dua di sebelah masjid.

“Disebabkan masjid sudah ada, SPK yang akan dibina di sebelah masjid itu juga harap dipercepatkan untuk kemudahan orang-orang kampung,” katanya lagi.

Difahamkan, skim tersebut melibatkan SPK Kampung Debak Laut, Kampung Bungin, Kampung Serembang, Kampung Manggut, Kampung Sebemban serta SPK Debak Baharu yang melibatkan sebanyak 245 lot rumah.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar enam SPK yang telah siap turut dibina Rumah Spektra Permata seperti di Spaoh.