KUCHING: Lebih 5,000 peserta parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkampung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, bagi menghadiri Konvensyen GPS pada 19 April ini.
Mereka terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Setiausaha Agung GPS merangkap Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata
setiap parti masing-masing menghantar 1,000 wakil bagi menghadiri konvensyen yang berlangsung selama sehari.
“Konvensyen bertemakan ‘PCDS 2030: Visi Jadi Realiti’ itu akan dirasmikan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen GPS di BCCK di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras konvensyen merangkap Timbalan- Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) yang juga Bendahari GPS, Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier yang juga ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta mereka yang terlibat menjayakan konvensyen ini.
Alexander berkata, konvensyen ini menjadi platform untuk memperkukuh hala tuju serta kesepakatan dalam kalangan parti komponen GPS demi pembangunan berterusan Sarawak
Antara pengisian konvensyen ialah sesi perkongsian strategik bertajuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie sebagai moderator.
Sementara itu, pencapaian Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 akan dikupas oleh bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin selaku moderator.
Selain itu, Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing, Presiden PRS, Dato Sri John Sikie Tayai masing-masing turut menyampaikan ucapan.
Konvensyen GPS itu akan berakhir dengan majlis makan malam di tempat sama.
Mengenai persiapan akhir itu, Alexander menjelaskan, ia berjalan lancar namun beberapa aspek teknikal masih diperhalusi.
