DEBAK: Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk menamatkan sepenuhnya kebergantungan kepada bahan api diesel bagi penjanaan elektrik dan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah “Selamat Tinggal Diesel” itu merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja mengurangkan kos jangka panjang, malah meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri termasuk luar bandar.
“Sarawak sebelum ini membuktikan keberkesanan tenaga solar menerusi Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES), khususnya di pedalaman seperti Baram yang kini menikmati bekalan elektrik 24 jam tanpa bergantung kepada diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Jalan Lubok Tamang dan Majlis Rakyat Bersama Pemimpin di Riveria Sport Centre Debak, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu.
Beliau berkata, kebergantungan berterusan kepada diesel hanya membebankan rakyat memandangkan harga bahan api semakin meningkat sehingga tiga kali ganda.
Pada masa sama, beliau menekankan keupayaan Sarawak membangunkan infrastruktur sendiri selepas beberapa projek penting tidak diteruskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Menurutnya, lebih 20 jambatan utama bernilai hampir RM7 bilion dibina menggunakan dana negeri bagi memperkukuh jaringan perhubungan dan merancakkan pembangunan ekonomi, khususnya di luar bandar.
Rakyat juga bakal menikmati kemudahan Jambatan Batang Lupar yang dijangka siap dalam masa terdekat, sekali gus menjadi jambatan terpanjang di Malaysia dan pemangkin kepada peningkatan mobiliti.
Selain itu, projek Second Trunk Road dan Jambatan Sejingkat yang dijangka siap hujung tahun ini akan memendekkan masa perjalanan dari Kuching ke Debak kepada sekitar dua jam, sekali gus mempercepat pertumbuhan ekonomi wilayah.
