Jalan Lubok Tamang bakal tingkatkan sosioekonomi penduduk kampung

BETONG: Jalan Lubok Tamang sepanjang 9.5 kilometer (km) dibina dengan kos RM35 juta akan meningkatkan lagi taraf sosioekonomi penduduk di Kampung Suri, Manggut dan Tuie, Debak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis penamaan Jalan Lubok Temang di simpang jalan itu, di sini, hari ini.

Projek jalan itu siap sepenuhnya pada April 2023 merangkumi pembinaan jalan raya berturap serta dua jambatan yang merentasi Sungai Jerai dan Sungai Lubok Selubang.

Dengan siapnya jalan raya itu, masa perjalanan dipendekkan, selain turut membantu meningkatkan taraf hidup 3,000 orang penduduk di sekitar.

Abang Johari kemudian bersama tetamu kenamaan lain mendengar taklimat mengenai projek tersebut daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris sebelum melakukan simbolik perasmian papan tanda Lubok Tamang.

Jalan itu juga akan menjadi laluan utama ke kawasan Agropark Lubok Tamang yang berpotensi mengubah landskap ekonomi kawasan Saribas melalui pertanian moden.

Premier Sarawak turut diberi taklimat mengenai Projek Pembangunan Lubok Tamang Agropark yang disampaikan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Datu Dr Zaidi Mahdi.

Projek ini melibatkan pembangunan bersepadu seluas 763 hektar merangkumi kawasan pertanian, pusat pelancongan, pusat pemprosesan dan pengumpulan serta kawasan pembangunan masa hadapan dengan kelapa pandan sebagai tanaman utama.

Projek ini dijangka menghasilkan sehingga 10 juta biji kelapa setahun sekali gus menyumbang kepada peningkatan eksport serta mengurangkan kebergantungan terhadap import kelapa.

Di samping itu, pelaksanaannya turut memperkukuh ekosistem agropreneur tempatan melalui pengwujudan peluang pekerjaan, penyediaan latihan serta penglibatan aktif dalam amalan pertanian moden.

Projek di bawah Projek Rakyat ini dijadual bermula pada Jun ini dan proses penanaman akan dilaksanakan dalam lima fasa sepanjang tempoh 20 bulan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu.