KUCHING: Sarawak merancang memulakan pembangunan Taman Perabot di Kuching sebelum projek itu diperluaskan ke Tanjung Manis.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memaklumkan projek tersebut mendapat kelulusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan memberi tumpuan kepada pembangunan produk kayu bernilai tambah tinggi.
“Pelaksanaan projek kini berada pada peringkat menunggu kelulusan peruntukan kewangan walaupun dasar telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Awang Tengah menjelaskan, inisiatif itu bertujuan mentransformasikan industri perabot negeri yang ketika ini masih didominasi oleh pengusaha kecil dan perusahaan keluarga.
Katanya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber bahan mentah yang mencukupi, sama ada daripada hutan semula jadi mahupun hutan tanaman, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan sektor tersebut.
“Pembangunan taman perabot ini dijangka merangsang industri hiliran agar lebih kompetitif serta berorientasikan pasaran eksport,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), Datu Zainal Abidin Abdullah.
