Tanjung Manis jadi Taman Perabot

KUCHING: Tanjung Manis yang sebelum ini dibangun berasaskan industri kayu akan diperkasakan melalui kesinambungan pembangunan berfokuskan industri perabot.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, perancangan terperinci dilaksanakan termasuk mengenal pasti kawasan strategik di Tanjung Manis bagi tujuan pembangunan tersebut.

Tanjung Manis boleh diperkukuhkan sebagai industri hiliran perkayuan serta meningkatkan penghasilan produk bernilai tinggi, katanya.

“Jika sebelum ini, kita menumpukan kepada eksport kayu balak, kini kita beralih kepada pemprosesan hilran yang memberi nilai tambah lebih tinggi, khususnya dalam industri perabot,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Ramah Tamah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), di sini, hari ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menghadiri majlis tersebut.

Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Zainal Abidin Abdullah.

Menurut beliau, pembangunan industri perabot tidak hanya tertumpu kepada penghasilan produk akhir, tetapi turut melibatkan pembangunan industri sokongan seperti komponen kecil termasuk kelengkapan pemasangan, yang penting untuk memastikan daya saing di peringkat antarabangsa.

Sarawak, tambahnya, juga sedang meneliti pelbagai model pembangunan Taman Perabot dari negara seperti China, Jepun, Taiwan, Korea dan Eropah, namun pendekatan tersebut akan disesuaikan dengan keperluan dan kekuatan tempatan.

“Kita perlu membangunkan model sendiri yang sesuai dengan keadaan di Sarawak, sambil mengatasi beberapa cabaran utama seperti kekurangan industri sokongan, logistik serta tenaga kerja mahir,” jelasnya.

Beliau turut mengakui persaingan utama datang dari negara seperti China yang mempunyai kos pengeluaran lebih rendah, justeru Sarawak perlu menumpukan kepada segmen produk tertentu seperti perabot taman, perabot dapur dan ruang tamu berdasarkan kekuatan bahan mentah tempatan.

Dari segi pelaksanaan, kerajaan merancang untuk memulakan pembangunan infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air dan tenaga dalam masa terdekat, katanya.

Kawasan seluas kira-kira 50 ekar, tambahnya, dikenal pasti di Kuching, manakala pembangunan di Tanjung Manis akan dilaksanakan mengikut keperluan dan potensi pelaburan.