Warga MUDENR kekalkan profesionalisme, semangat berpasukan

KUCHING: Warga Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDENR) perlu memiliki tahap profesionalisme yang tinggi.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana kementerian itu memainkan peranan strategik dalam merancang pembangunan bandar yang tersusun.

Di samping itu, katanya kementerian terbabit juga mengurus sumber asli secara mampan serta memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Peranan ini menuntut tahap profesionalisme yang tinggi, kecekapan dalam membuat keputusan serta keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan, termasuk dalam era digital yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah MUDeNR serta Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, di sini, malam tadi.

Awang Tengah berkata, dalam hal ini, beliau juga ingin menegaskan bahawa kecemerlangan dalam perkhidmatan awam bukan hanya diukur melalui pencapaian kerja semata-mata.

“Tetapi juga melalui nilai integriti, disiplin dan semangat berpasukan,” tambahnya.